Pages

Perutusan Maulidur Rasul 1429H


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Jumu'ah ayat 2 :

"Dia-lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang arab yang umiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka dari iktikad yang sesat serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas segala limpah rahmatNya kepada seluruh kaum Muslimin dan umat manusia semuanya. Marilah sama-sama kita berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW , kepada para sahabat dan keluarga baginda ’alihimus salam ajmain. Bersempena dengan Ulangtahun kelahiran Nabi Junjungan Besar Muhammad SAW pada tahun ini, marilah kita merenung dengan cukup mendalam akan tujuan dan matlamat kita sebagai umat Nabi akhir zaman. Kita kini sedang berada di dalam suasana yang cukup mencabar bukan sahaja dalam konteks kehidupan kita namun akhir-akhir ini wujud unsur-unsur untuk mempermainkan kemuliaan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Usaha sebegini adalah salahsatu daripada perancangan jahat dikalangan mereka yang irihati dengan kehebatan Nabi Muhammad SAW, disamping untuk memburuk-burukkan sejarah perjuangan baginda yang telah memberi kesan yang cukup besar dalam penyebaran Islam diseluruh dunia.

Percayalah agama Islam yang kita anuti ini tidak akan mampu disebarkan seluasnya semata-mata atas kesedaran jiwa manusia tanpa kekuatan iman, aqidah yang ditanamkan oleh baginda, para sahabatNya, para tabiin yang memungkinkan Islam semakin melebar luas hingga ke saat ini. Hakikat inilah yang cuba dipadamkan oleh segolongan manusia yang tidak sedia dengan kebenaran ini. Sebab itulah wujudnya anasir karikatur yang menghina Nabi berlaku dengan meluas. Sikap memperkecilkan kewibawaan baginda juga telah mendapat respon yang pelbagai daripada umat Islam seluruh dunia. Begitu jugalah wujudnya kumpulan-kumpulan anti hadis yang menjadi kumpulan mendesak penolakkan hadith nabi yang muktabar. Tindakan beginilah yang telah membangkitkan semangat dikalangan umat Islam untuk mempertahankan kesucian Islam dan kebenaran perjuangan Nabi SAW.

Sahabat Muslimin sekelian,

Apalah ertinya sambutan ulangtahun Nabi besar kita atau Maulidur Rasul SAW kalau hanya kita menyambut dan mengenang nya sekadar peringatan zahirnya sahaja. Apalah ertinya keinsafan kita dalam menghayati sejarah perjuangan Nabi yang begitu panjang tanpa kita kaitkan dengan diri kita, peranan kita, tanggungjawab kita dan jihad kita untuk mempertahankan kesucian islam yang telah dibawa oleh baginda SAW. Sambutan tidak akan memberi makna tanpa usaha dan kecenderungan jihad dalam diri dan upaya kita mengangkat martabat diri kita, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara kita ke satu era yang gemilang berdasarkan panduan wahyu. Cuba kita renung semangat jihad baginda yang dihamparkan dengan perjuangan Islam seawal kelahirannya, bagaimana perjuangan baginda berada dalam lingkungan masyarakat, begitu juga bagaimana baginda begitu tekun dalam melaksanakan tugas sebagai Al-Amin yang menjadi tunjang , menjadi kekuatan dan contoh generasi Mekah pada ketika itu atas kehebatan akhlaq dan sahsiah baginda. Inilah bukti akan contoh yang dimainkan oleh baginda kepada kaumnya walaupun berbeza dari segi fahaman agama dan keimanan. Namun baginda tetap menjadi rujukan, penyinar kepada kegelapan umat pada zamannya.

Allah SW berfirman dalam surah Al-Ma’idah, ayat 15:

Ertinya: Sesungguhnya, telah datang kepada kamu sebuah cahaya dari Allah dan Kitab yang Menerangkan.

Begitu juga perjuangan jihad di medan perang yang memaparkan kepada kita bahawa bagaimana perjuangan menegakkan Islam penuh dengan liku dan cabaran.Jatuh bagunnya jihad dimedan perang telah memperlihatkan kita akan bagaiaman baginda mengemudi tentera peperangan dengan strategi yang cukup hebat. Seperkara lagi dalam konteks mengangkat makna Maulidur Rasul ini adalah bagaimana kita menghidupkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan kita. Jangalah kita memperlekehkan sunnah nabi kerana setiap tindakan nabi, kata-katanya dan diamnya itu adalah sunnah dan wahyu Allah SWT.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

"Dari Anas bin Malik telah bersabda kepadaku Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

''Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku maka ia telah cintakan aku dan barangsiapa yang cintakan aku maka dia bersamaku di dalam syurga".(Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Apa maknanya Maulidur Rasul pada kita? Sebagai umat yang berjiwa besar sudah pasti yang paling asas bagi kita bagaimana untuk kita meyakinkan diri kita bahawa keimanan dan kepercayaan kita kepada Junjungan besar nabi saw itu adalah suatu kebenaran yang mutlak. Tidak ada suatu kegelisahan dalam jiwa kita bila kita mengimani akan Nabi , rasul kekasih Allah.

Untuk membuktikan akan kebenaran dan kesan dalm diri kita, perhatikanlah , bilamana ada unsur-unsur penghinaan kepada Nabai SAW, apakah kita berasa tercabar, adakah jiwa kita merasa tergoncang atas kemelut penghinaan yang berlaku kepada kekasih Allah ini. Kita lihat berapa ramai umat Islam bila mana ada elemen pengkhianatan kepada Nabi, mereka berasa ianya suatu perkara kecil dan merasa ianya adalah perkara sampingan. Dan berapa ramai yang tidak memberi apa-apa respon dalam mempertahankan Islam dan perjuangan baginda dan yang paling teruk lagi apabila mereka mengiakan segala usaha memburuk-buruk baginda. Inilah cabaran uamt Islam pada hari ini.

Sahabat Muslimin sekelian,

Seterusnya erti sambutan Maulidur rasul juga haruslah memberi makna mempelajari sirah perjuangan baginda dengan benar. Mengkaji akan bagaimana usaha dakwah baginda, menelusuri sirah kehidupan baginda yang cukup bermakna dalm konteks kepimpinan dan kepemimpinan umat. Sikap yang begitu hebat dipaparkan dalam kitab sirah bagimana muamalah baginda sebagai pemimpin Islam dalam mengemudi sebuah perjuangan samada kecil dan besar. Daripada perjuangan sebagai ketua keluarga sehinggalah perjuangan sebagai ketua negara. Menghitung akan kehebatan inilah antara intipati menyambut maulidur rasul. Jangan hanya kita mengadakan majlis sambutan meriah tetapi kita tidak berupaya untuk menganjak minda untuk mempertingkatkan diri bukan sahaja mengikut perkara-perkara luaran baginda tetapi menilai apakah syarat-syarat untuk menjadi umat yang hebat di sisi Allah SWT. Kebimbangan yagn wujud pada hari ini adalah semua pihak sedar akan sambutan maulid ini tetapi ianya sekadar sebagai satu syiar, sambutan tahunan, mengisi kalendar program, majlis makan-makan dan sebagainya. Inilah tumpuan yang harus dimainkan kepada seluruh generasi baik daripada ketua keluarga sehinggalah kepada ketua negara. Dimana kita.? Kalau sikap ini tidak berubah maka sambutan akan hanya jadi sambutan tanpa isi dan kesan yang baik untuk jangka masa panjang.

Kepada rakan-rakan seperjuangan di bumi UK bertuah ini, marilah sama-sama kita renung tugas kita. Apakah tanggungjawab kita dalam menjunjung perjuangan baginda SAW? Apatah lagi kita berada dalam komuniti pelbagai agama, sudah tentulah cabaran kita besar bagaiaman untuk memperbetulkan persepsi Islam kepada masyarakat bukan Islam. Tugas sebagai pendakwah juga tidak kurang besarnya. Yang paling mudah bagi kita dalam menjunjung nilai perjuangan baginda adalah bagaimana kita sebagai individu harus memelihara akhlak dan sahsiah diri kita sebagai muslim dibumi UK bertuah ini.Pelihara akhlak dengan orang lain, menjadi contoh kepada semua golongan dengan jiwa yang besar disamping menjelaskan kepada semua pihak akan kebenaran Islam sebagaimana yang ditetapkan oleh agama kita. Siapa lagi yang nak mempertahankan Islam dan perjuangan baginda Rasulullah SAW kalau bukan kita? Sama-samalah kita menggerakan semangat diri kita, eratkan hubungan sesama islam dan pertahankan perjuangan baginda dengan jihad dan mujahadah diri sebaik mungkin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala lagi dalam Surah Al Anbiyaa' ayat 107 tafsirnya :

"Dan tiadalah Kami mengutus engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Akhir kalam, bagi pihak Seluruh pimpinan MISG ABIM UK-Eire 2008-2009 mengucap Selamat menyambut Maulidur Rasul SAW 1429H. Semoga Allah memberi kekuatan kepada seluruh umat Islam.