Selamat Bermuktamar

13 Julai 2009- United Kingdom. Seluruh pimpinan MISG ABIM UK Eire 2009 ingin mengucapkan selamat berseminar dan bermuktamar kepada Seluruh Warga Besar ABIM di Malaysia. Semoga Muktamar kali ke-38 pada tahun ini akan menjadi medan muhasabah gerakan kita untuk terus perkasa dalam mengemudi agenda dakwah di Negara Malaysia.

Sesungguhnya dakwah yang kita laksanakan ini adalah medan yang memerlukan semangat yang tinggi selain perancangan yang teratur dan terancang. Sesungguhnya gerakan kita bukan semata-mata mengisi agenda pembangunan ummah bahkan tugas ABIM adalah selaras dengan tuntutan meneruskan risalah nubuwwah menyampaikan yang hak dan menolak yang bathil disamping membentuk ummah yang cemerlang dan gemilang.

Kekuatan gerakan abim bukan sahaja dibina melalui kekuatan jasmaniyyah semata-mata namun perlu diberi perhatian bahawa gerakan kita adalah gabungan kekuatan jasmaniyyah, akliyah dan ruhiyyah. Justeru ABIM harus kembali mengukuhkan semangat perjuangan dengan lebih jitu dalam suasana Negara yang semakin mencabar. Suntikan ilmu, kekuatan mujahadah dan semangat dalam meneruskan dakwah harus sentiasa dipertegas dikalangan pimpinan dan ahli keseluruhannya, moga wadah abim yang telah melakar sejarah lebih 30 tahun lalu akan kembali bersinar dan terus maju dengan baik demi kekuatan islam dan agama dinegara ini.

Selamat berseminar dan bermuktamar


Hasri Harun
Presiden

) Wacana Ta’dib Islami dan Program Jelajah Ilmu bersama Dr Mohd Farid Shahran

Sheffield-Bulan Jun 2009 telah berjaya diadakan majlis Wacana Ta’dib Islami kira-kira hampir 1 minggu disekitar UK, meliputi kawasan London, Sheffield, Hull dan Nottingham. Majlis yang diisi oleh seorang tokoh akademik muda dari UIA iaitu Dr Mohd Farid Shahran, Pensyarah Jabatan usuluddin dan perbandingan agama. Beliau juga adalah Timbalan Presiden ABIM Malaysia. Siri Wacana ini telah dimulakan di Sheffield pada 9 Jun 2009 bertempat di rumah Sdr Presiden, Ustaz Hasri Harun. Kuliah Ta’dib Islami yang bertajuk Islam dan Sekularisme:Cabaran para pendidik telah menjadi topik kuliah yang disampaikan hamper 2 jam dan mendapat respon yang cukup menggalakkan. Seramai lebih 20 orang ahli-ahli persatuan dan pelajar Malaysia Sheffield menghadiri kuliah tersebut.


Pada hari berikutnya iaitu pada 10 Jun 2009 , sesi kedua, kuliah ta’dib islami diadakan di University of Nottingham. Majlis diadakan di Portland Building, Universiti dengan dihadiri oleh pelajar-pelajar undergraduate. Wacana membicarakan tassawur islami yang membincangkan gambaran besar peranan ilmu dan hakikat menurut islam. Hari ketiga siri jelajah ilmu turut diadakan di dewan solat MSD London bersama-sama dengan komuniti melayu London. Turut hadir pada majlis tersebut, Attache pendidikan ( agama ) Ustaz Erfino Johari. Sebelum kuliah disampaikan , telah diadakan bacaan yaasin secara beramai-ramai.



Pada hari keempat, siri wacana dan jelajah ilmu diteruskan di Hull. Dua sesi telah diadakan. Pertama adalah Majlis Motivasi Phd dikalangan warga postgraduate university of Hull. Majlis diadakan disalah sebuah rumah pelajar. Pada hari berikutnya iaitu hari sabtu 13 Jun 2009 telah diadakan wacana besar-besaran bersama Komuniti melayu Hull. Majlis diserikan oleh Forum /Wacana membincangkan tentang Isu kebangkitan Islam dan generasi berdasarkan buku tulisan Dr Majid Kaylani. Forum tersebut telah membariskan Dr Mohd Farid Shahran sendiri digandingkan denga Ust Erfino Johari. Wacana/Forum telah dipengerusikan oleh Ustaz Hasri Harun sendiri.


Kira-kira seminggu perjalanan, penganjuran majlis ini telah memberi kesan yang cukup mendalam kepada ahli dan warga melayu disekitar UK ini. Moga dengan penganjuran ini akan menyemarak lagi usaha meletakan ilmu dan saling bertukar-tukar maklumat sesama pelajar dan warga melayu di bumi UK bertuah ini. Bagi pihak MISG ABIM UK selaku pengajur mengucapkan selamat dan terima kasih kepada Dr Mohd Farid atas kesediaan mengisi program-program yang telah diatur. Semoga bantuan dan usaha yang diberikan diberkati oleh Allah swt. Kepada semua ajk yang mengurus program ini sehingga berjaya semoga allah membalas segala bantuan dan sokongan anda.

Takziah Ust Erfino sekeluarga

17 Jun – London : Seluruh Pimpinan MISG ABIM UK-Eire mengucapkan takziah kepada keluarga Ustaz erfino Johari, Attache Pendidikan (Agama) MSD London atas kepulangan kerahmatullah bonda mertua pada hari ahad yang lalu. Sesungguhnya janji telah ditetapkan Allah kepada hambanya telah pun ditentukan walau dimana kita berada. Justeru pihak MISG juga diwakili Presidennya Ustaz Hasri Harun, timbalan Presiden, Sdr Shafuddin Mohd Yatim dan Bendahari Sdr, Ahmad Razin Zainal Abidin telah segera menghadiri majlis bacaan tahlil atas kematian bonda mertua ustaz erfino pada hari selasa, 16 jun 2009 bertempat diDewan Sembahyang MSD London bermula jam 7.30 malam. Majlis dimulai dengan ucapan ringkas daripada ustaz erfino yang menceritakan perkembangan semasa urusan jenazah dan ucapan kesyukuran atas bantuan dan sokongan semua pihak kepada beliau sekeluarga. Seterusnya majlis bacaan yaasin dan tahlil dimulakan dengan dipimpin sendiri oleh Ustaz Erfino Johari.

Mari sama-sama kita mendoakan semoga keluarga Ustaz Erfino dan isteri akan sentiasa diberi ketabahan dan kekuatan atas ujian Allah yang telah menimpa. Selamat kita ucapkan kepada Ustaz sekeluarga yang telah pulang ke Malaysia bagi mengiringi jenazah untuk urusan pengkebumian diMalaysia nanti.Semoga segalanya menjadi iktibar dan semangat bagi kita untuk meneruskan hidup dengan melakukan amal soleh sebelum menemui Allah satu hari nanti.


Hasri Harun

Presiden