Pages

Jelajah Ilmu bersama Prof Dr. Sidek Baba

Assalamualaikum, buat sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang berada di United Kingdom dan Ireland. Dengan berbesar hati kami ingin menjemput untuk sesi beramah mesra bersama Prof. Dr Sidek Baba. Butiran lanjut mengenai program adalah seperti berikut.

Sila klik poster untuk besarkan.

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi :

Conventry - Ustaz Noh : mohdnohabduljalil@gmail.com
Sheffield - Ustaz Hasri : has_elly@yahoo.co.uk
Hull - En. Shafudin : S.Mohd-Yatim@2007.hull.ac.uk

PRI 2008 Berjaya

MISG ABIM UK-Eire telah berjaya menganjurkan Program Rekreasi Ilmu 2008 pada tahun ini dengan bertemakan Perteguh Tekad Pertingkat Amal. Program 3 hari 2 malam tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada pimpinan dan ahli-ahli serta warga baru bersama-sama menjayakannya. Seramai 40 peserta mendaftarkan diri sepanjang program tersebut. Para peserta daripada komuniti Hull, New Castle, Birmingham, Lancaster turut serta dalam program tersebut.

Pihak Jawatankuasa juga berasa amat bertuah kerana program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penuntut Pelajar Malaysia di London, YBhg En. Ahmad Nazri Sulaiman. Dalam ucapannya beliau menasihatkan peserta agar menjayakan program seumpama ini bagi mengukuhkan lagi persaudaraan sesama pelajar yang berada diluar Negara disamping mempertingkat ilmu dalam semua bidang kehidupan. Dalam ucapan perasmian nya juga beliau mengajak peserta merenung akan sejarah perjuangan para ilmuan yang tersohor bagaimana mereka membangunkan generasi muda. Oleh sebab itu program-program bersifat keilmuan ini amat wajar dilakukan sebagai mengisi matlamat pendidikan yang lebih besar.
PRI 2008 kali ini juga selain daripada kuliah dan aktiviti kekeluargaan, peserta juga dihidangkan dengan Ceramah Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Prof Madya Hj Shaharuddin Badaruddin, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Uitm Shah Alam. Selain daripada input tentang Penjuangan Baginda Nabi saw sebagai pemimpin Negara, para peserta juga telah dapat berkongsi dengan penceramah tentang hal-hal semasa berkaitan dengan Lanskap baru siasah Malaysia sejak Pilihan raya Umum 12 baru-baru ini. Sebagai pakar dalam bidang Sains Politik analisa tentang masa depan umat Islam dan melayu juga telah disentuh.

Aktiviti sebelah petang cukup menarik dengan Aktiviti Sukan dimana peserta telah terlibat dalam acara menembak dan memanah. Beberapa jurulatih kem tersebut telah memberi taklimat dan cara-cara permainan tersebut. Pada sebelah malam , para peserta dijamu dengan ceramah oleh Sheikh Nasir, Imam Masjid Grimsby., satu-satunya masjid yang terdapat di sekitar Grimsby ini.

Dengan terlaksananya program diharap, ianya memberi manfaat kepada semua peserta yang hadir. Bagi pihak AJK penganjur kita mengucap terima kasih atas kerjasama semua pihak yang menjayakan program pada kali ini. Kita bertemu dalam PRI 2009 NANTI...


Sila lawati album gambar MISG-ABIM UK & Eire untuk paparan gambar selanjutnya.

Perutusan Maulidur Rasul 1429H


Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Jumu'ah ayat 2 :

"Dia-lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang arab yang umiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) dari bangsa mereka sendiri yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya) dan membersihkan mereka dari iktikad yang sesat serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum kedatangan Nabi Muhammad itu adalah dalam kesesatan yang nyata".

Marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas segala limpah rahmatNya kepada seluruh kaum Muslimin dan umat manusia semuanya. Marilah sama-sama kita berselawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW , kepada para sahabat dan keluarga baginda ’alihimus salam ajmain. Bersempena dengan Ulangtahun kelahiran Nabi Junjungan Besar Muhammad SAW pada tahun ini, marilah kita merenung dengan cukup mendalam akan tujuan dan matlamat kita sebagai umat Nabi akhir zaman. Kita kini sedang berada di dalam suasana yang cukup mencabar bukan sahaja dalam konteks kehidupan kita namun akhir-akhir ini wujud unsur-unsur untuk mempermainkan kemuliaan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Usaha sebegini adalah salahsatu daripada perancangan jahat dikalangan mereka yang irihati dengan kehebatan Nabi Muhammad SAW, disamping untuk memburuk-burukkan sejarah perjuangan baginda yang telah memberi kesan yang cukup besar dalam penyebaran Islam diseluruh dunia.

Percayalah agama Islam yang kita anuti ini tidak akan mampu disebarkan seluasnya semata-mata atas kesedaran jiwa manusia tanpa kekuatan iman, aqidah yang ditanamkan oleh baginda, para sahabatNya, para tabiin yang memungkinkan Islam semakin melebar luas hingga ke saat ini. Hakikat inilah yang cuba dipadamkan oleh segolongan manusia yang tidak sedia dengan kebenaran ini. Sebab itulah wujudnya anasir karikatur yang menghina Nabi berlaku dengan meluas. Sikap memperkecilkan kewibawaan baginda juga telah mendapat respon yang pelbagai daripada umat Islam seluruh dunia. Begitu jugalah wujudnya kumpulan-kumpulan anti hadis yang menjadi kumpulan mendesak penolakkan hadith nabi yang muktabar. Tindakan beginilah yang telah membangkitkan semangat dikalangan umat Islam untuk mempertahankan kesucian Islam dan kebenaran perjuangan Nabi SAW.

Sahabat Muslimin sekelian,

Apalah ertinya sambutan ulangtahun Nabi besar kita atau Maulidur Rasul SAW kalau hanya kita menyambut dan mengenang nya sekadar peringatan zahirnya sahaja. Apalah ertinya keinsafan kita dalam menghayati sejarah perjuangan Nabi yang begitu panjang tanpa kita kaitkan dengan diri kita, peranan kita, tanggungjawab kita dan jihad kita untuk mempertahankan kesucian islam yang telah dibawa oleh baginda SAW. Sambutan tidak akan memberi makna tanpa usaha dan kecenderungan jihad dalam diri dan upaya kita mengangkat martabat diri kita, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara kita ke satu era yang gemilang berdasarkan panduan wahyu. Cuba kita renung semangat jihad baginda yang dihamparkan dengan perjuangan Islam seawal kelahirannya, bagaimana perjuangan baginda berada dalam lingkungan masyarakat, begitu juga bagaimana baginda begitu tekun dalam melaksanakan tugas sebagai Al-Amin yang menjadi tunjang , menjadi kekuatan dan contoh generasi Mekah pada ketika itu atas kehebatan akhlaq dan sahsiah baginda. Inilah bukti akan contoh yang dimainkan oleh baginda kepada kaumnya walaupun berbeza dari segi fahaman agama dan keimanan. Namun baginda tetap menjadi rujukan, penyinar kepada kegelapan umat pada zamannya.

Allah SW berfirman dalam surah Al-Ma’idah, ayat 15:

Ertinya: Sesungguhnya, telah datang kepada kamu sebuah cahaya dari Allah dan Kitab yang Menerangkan.

Begitu juga perjuangan jihad di medan perang yang memaparkan kepada kita bahawa bagaimana perjuangan menegakkan Islam penuh dengan liku dan cabaran.Jatuh bagunnya jihad dimedan perang telah memperlihatkan kita akan bagaiaman baginda mengemudi tentera peperangan dengan strategi yang cukup hebat. Seperkara lagi dalam konteks mengangkat makna Maulidur Rasul ini adalah bagaimana kita menghidupkan sunnah Nabi SAW dalam kehidupan kita. Jangalah kita memperlekehkan sunnah nabi kerana setiap tindakan nabi, kata-katanya dan diamnya itu adalah sunnah dan wahyu Allah SWT.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya :

"Dari Anas bin Malik telah bersabda kepadaku Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :

''Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku maka ia telah cintakan aku dan barangsiapa yang cintakan aku maka dia bersamaku di dalam syurga".(Riwayat Al-Imam At-Termidzi)

Apa maknanya Maulidur Rasul pada kita? Sebagai umat yang berjiwa besar sudah pasti yang paling asas bagi kita bagaimana untuk kita meyakinkan diri kita bahawa keimanan dan kepercayaan kita kepada Junjungan besar nabi saw itu adalah suatu kebenaran yang mutlak. Tidak ada suatu kegelisahan dalam jiwa kita bila kita mengimani akan Nabi , rasul kekasih Allah.

Untuk membuktikan akan kebenaran dan kesan dalm diri kita, perhatikanlah , bilamana ada unsur-unsur penghinaan kepada Nabai SAW, apakah kita berasa tercabar, adakah jiwa kita merasa tergoncang atas kemelut penghinaan yang berlaku kepada kekasih Allah ini. Kita lihat berapa ramai umat Islam bila mana ada elemen pengkhianatan kepada Nabi, mereka berasa ianya suatu perkara kecil dan merasa ianya adalah perkara sampingan. Dan berapa ramai yang tidak memberi apa-apa respon dalam mempertahankan Islam dan perjuangan baginda dan yang paling teruk lagi apabila mereka mengiakan segala usaha memburuk-buruk baginda. Inilah cabaran uamt Islam pada hari ini.

Sahabat Muslimin sekelian,

Seterusnya erti sambutan Maulidur rasul juga haruslah memberi makna mempelajari sirah perjuangan baginda dengan benar. Mengkaji akan bagaimana usaha dakwah baginda, menelusuri sirah kehidupan baginda yang cukup bermakna dalm konteks kepimpinan dan kepemimpinan umat. Sikap yang begitu hebat dipaparkan dalam kitab sirah bagimana muamalah baginda sebagai pemimpin Islam dalam mengemudi sebuah perjuangan samada kecil dan besar. Daripada perjuangan sebagai ketua keluarga sehinggalah perjuangan sebagai ketua negara. Menghitung akan kehebatan inilah antara intipati menyambut maulidur rasul. Jangan hanya kita mengadakan majlis sambutan meriah tetapi kita tidak berupaya untuk menganjak minda untuk mempertingkatkan diri bukan sahaja mengikut perkara-perkara luaran baginda tetapi menilai apakah syarat-syarat untuk menjadi umat yang hebat di sisi Allah SWT. Kebimbangan yagn wujud pada hari ini adalah semua pihak sedar akan sambutan maulid ini tetapi ianya sekadar sebagai satu syiar, sambutan tahunan, mengisi kalendar program, majlis makan-makan dan sebagainya. Inilah tumpuan yang harus dimainkan kepada seluruh generasi baik daripada ketua keluarga sehinggalah kepada ketua negara. Dimana kita.? Kalau sikap ini tidak berubah maka sambutan akan hanya jadi sambutan tanpa isi dan kesan yang baik untuk jangka masa panjang.

Kepada rakan-rakan seperjuangan di bumi UK bertuah ini, marilah sama-sama kita renung tugas kita. Apakah tanggungjawab kita dalam menjunjung perjuangan baginda SAW? Apatah lagi kita berada dalam komuniti pelbagai agama, sudah tentulah cabaran kita besar bagaiaman untuk memperbetulkan persepsi Islam kepada masyarakat bukan Islam. Tugas sebagai pendakwah juga tidak kurang besarnya. Yang paling mudah bagi kita dalam menjunjung nilai perjuangan baginda adalah bagaimana kita sebagai individu harus memelihara akhlak dan sahsiah diri kita sebagai muslim dibumi UK bertuah ini.Pelihara akhlak dengan orang lain, menjadi contoh kepada semua golongan dengan jiwa yang besar disamping menjelaskan kepada semua pihak akan kebenaran Islam sebagaimana yang ditetapkan oleh agama kita. Siapa lagi yang nak mempertahankan Islam dan perjuangan baginda Rasulullah SAW kalau bukan kita? Sama-samalah kita menggerakan semangat diri kita, eratkan hubungan sesama islam dan pertahankan perjuangan baginda dengan jihad dan mujahadah diri sebaik mungkin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala lagi dalam Surah Al Anbiyaa' ayat 107 tafsirnya :

"Dan tiadalah Kami mengutus engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Akhir kalam, bagi pihak Seluruh pimpinan MISG ABIM UK-Eire 2008-2009 mengucap Selamat menyambut Maulidur Rasul SAW 1429H. Semoga Allah memberi kekuatan kepada seluruh umat Islam.

Program Rekreasi Ilmu 2008


(sila click pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas)

Pengisian (Dewasa):

  • Taaruf
  • Perasmian oleh : Pengarah MSD (Jabatan Penuntut Malaysia, London)
  • Slot 1 : Pengisian Ilmu : Wakil ABIM Pusat : Tajuk ‘ Rasulullah dan Perjuangan Dakwah Umat – Bersempena Maulidur Rasul 1429H
  • Slot 2: Talk by Shaykh Naseer – Imam Masjid Grimsby : Topic: ‘ Islam & A Universal Message ‘
  • Slot 3 : Muhasabah Dakwah
  • Jalan Cari Ilmu – Ziarah sekitar kawasan menarik di Grimsby
  • Kuliah & Qiyamullail
  • Aktiviti Sukan Luar (Menembak & Memanah)
  • Jalan-jalan tempat menarik sekitar Grimsby
  • Ziarah Masjid Stanley St, Grimsby

Pengisian (Kanak-Kanak):

  • Ta'aruf
  • Program Mewarna
  • Practical Nasyid
  • Sukaneka Kanak-Kanak
  • Story Telling
  • Practical Solat

Yuran: Family (£35.00) , Undergraduate (£25.00) , Remaja (£20.00)

Ke Arah Politik Baru Demi Masa Depan Bangsa dan Tanah Air

8 Mac 2008 akan menjadi satu sejarah lagi bagi seluruh rakyat Malaysia apabila semua warga keluar menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan bagi lima tahun akan datang. Walau apa pun dasar dan matlamat yang hendak dilaksanaka yang penting adalah masa depan rakyat dan bangsa Malaysia yang harus menjadi keutamaan untuk dijunjung. Bagi parti politik yang akan memulakan perang pilihanraya sepanjang 13 hari akan datang, haruslah lebih bertanggungjawab dalam seluruh janji dan harapan yang ditabur kepada rakyat Malaysia.

Daripada pelbagai manifesto dan harapan pilihanraya , semua pemimpin parti politik tidak harus memandang pilihanraya hanya sekadar untuk menang tetapi tidak mempunyai matlamat untuk rakyat bawahan yang sememangnya harus diambil peduli. Dasar dan panduan dalam melaksanakan pilihanraya harus dipatuhi oleh semua pihak. Dan apa yang lebih penting adalah sikap bertanggungjawab semua pihak dalam melaksanakan misi dan matlamat pilihanraya bagi meneruskan pembangunan negara demi masa depan yang lebih sejahtera.

Kepada bakal pemimpin politik masa akan datang, harus lah lebih sedar akan tanggungjawab anda. Bagi khusus untuk umat Islam, kepimpinan adalah amanah Allah swt. Ia bukan satu kebanggaan yang hendak dibina dan dijaja. Memang kita dibenar untuk menawar diri dalam kepimpinan sebagaimana dalam sejarah Islam, Nabi Yusof menawar diri menjadi menteri dalam kerajaan pada zamannya. Tetapi kita harus sedar bahawa menawar diri bertanding tidaklah semudah itu. Kita harus melihat diri kita, akhlak dan sahsiah kita, nilai contoh kepada umat dan negara disamping kemampuan kita untuk membantu rakyat bawahan, menggagaskan dasar ekonomi dan politik serta sosial dan mampu membangunkan masa depan negara. Harapan yang kita bawa untuk rakyat dan ummah tidak harus dikesamping kan walau sedikit tatkala kemenangan yang akan kita kecapi selepas ini.

Harapan kita bersama, janganlah pilihanraya ini menjadi medan memupuk perasaan benci membenci sesama kita walau daripada pelbagai parti politik dan pemahaman. Masing-masing mempunyai agenda yang hendak dibawa untuk negara. Oleh yang demikian kekuatan dalam melaksanakan kemakmuran negara, mematuhi peraturan dan mengelak sebarang penipuan, kezaliman dan penindasan harus diketepi dalam proses demokrasi dalam negara.

Selamat melaksana tanggungjawab kepada negara.

Hasri Harun
Timbalan Presiden
MISG-ABIM UK & Eire