"AKU menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan!" Laungan syahdu 'talbiah' bergema di seluruh pelusuk kota Makkah setiap kali kedatangan Zulhijjah. Jemaah memenuhi kota Makkah bersama niat tulus ingin melengkapkan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji.
Hati mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji di kota suci-Nya. Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan zakat.
Sejak zaman Nabi Adam AS lagi sudah ada ibadat haji, begitu juga pada zaman Nabi Ibrahim AS tetapi tidak banyak ulama mengkaji kaedah pelaksanaan pada zaman itu. "Pelaksanaan ibadat haji secara lengkap dan sempurna seperti hari ini bermula pada tahun kesembilan Hijrah apabila turunnya wahyu daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW mengutuskan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab menunaikan haji pertama di Makkah.
"Seterusnya pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengetuai rombongan haji dan ia adalah haji tunggal dan terakhir Baginda sebelum wafat," katanya. Roslan berkata, pelaksanaan rukun dan wajib haji serta pelbagai amalan lain dalam ibadat itu memiliki sejarah dan simbolik tertentu kepada perjalanan hidup manusia dari dunia ini sehingga ke alam akhirat.
Mengelilingi Kaabah atau tawaf adalah simbolik perjuangan manusia dalam pelbagai lapangan untuk meneruskan kehidupan di dunia, namun matlamat akhirnya tetap untuk mendapatkan keredaan Allah.
Mengelilingi Kaabah atau tawaf adalah simbolik perjuangan manusia dalam pelbagai lapangan untuk meneruskan kehidupan di dunia, namun matlamat akhirnya tetap untuk mendapatkan keredaan Allah.
Tawaf dilakukan tujuh kali kerana ketika mula membina Kaabah, Nabi Ibrahim memastikan kedudukan tegak binaan itu berpandukan bahu dan mata dengan mengelilinginya tujuh kali. Selain itu, tawaf juga adalah amalan malaikat di Baitul Makmur di langit yang terletak betul-betul di atas Baitullah (Kaabah). Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah bererti berhenti seketika di padang itu. Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar di mana semua manusia - tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan - akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.
Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya, Hawa bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ jugalah Nabi Muhammad (SAW) menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam. Saie yang menjadi satu daripada rukun haji pula bersempena peristiwa isteri Nabi Ibrahim, Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah untuk mencari air bagi anaknya, Nabi Ismail iaitu ketika Makkah belum terkenal. Hajar mendaki satu tempat tinggi dikenali Safa dengan harapan dapat melihat air, tetapi tiada.
Kemudian dia turun dan menuju ke tempat lain, iaitu Marwah, tidak ditemui air. Sampailah tujuh kali dia berulang-alik antara tempat itu, akhirnya dia menghampiri Marwah dan mendengar satu suara. Dia lalu menoleh dan mendapati malaikat menguis tanah dengan sayapnya sehingga keluar air zam-zam. Sesetengah pendapat mengatakan, Nabi Ismail yang menguis tanah dengan dua kakinya atau kedua-dua tangannya ketika menangis kehausan, hingga keluar air zam-zam. Saie secara simbolik memberi gambaran supaya manusia sentiasa berusaha mencari rezeki di dunia selain berusaha mendapatkan pahala di sebalik amal kebaikan untuk menjadi bekalan memperoleh syurga di akhirat kelak.
Melontar Jamrah pula berkait dengan kisah ketika Nabi Ibrahim menerima wahyu supaya menyembelih Nabi Ismail. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail ke sebuah lereng gunung di Mina dan di situ, muncul iblis yang menyamar sebagai manusia untuk menggoda Ibrahim supaya membatalkan niatnya. Nabi Ibrahim kemudian mengusir iblis itu. Menerusi peristiwa itulah umat Islam kemudian diwajibkan melontar Jamrah menggunakan batu kecil, sebagai simbol mengusir syaitan dari dalam diri manusia selain simbolik lain adalah 'melontar' jauh sifat kufur dan maksiat dari dalam diri.
Wahyu supaya Nabi Ibrahim menyembelih puteranya itu juga menjadi titik tolak ibadat korban yang dilakukan sempena haji atau Aidiladha. Seperti juga semangat dan keimanan Nabi Ibrahim AS, ibadat korban memberi maksud simbolik betapa manusia itu perlu mensyukuri nikmat Allah dan sanggup berkorban apa saja demi menunaikan perintah-Nya.
- Ihram dan berniat mengerjakan ibadat haji dimulai sesampai miqat (batas-batas yang ditetapkan).
- Wukuf di Arafah, iaitu berhenti di padang Arafah sejak tergelincir matahari 9 Zulhijah sampai terbit fajar tanggal 10 Zulhijah.
- Tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
- Saie iaitu berlari kecil atau jalan cepat antara bukit Safa dan Marwah.
- Mencukur atau menggunting rambut, sedikitnya memotong tiga helai rambut.
- Tertib iaitu menjalankan rukun haji secara berurutan.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment