Melayu United Kingdom: Satu Catatan

Program Bersama:

Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom (Melayu UK)
Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS)
Angkatan Belia Islam Malaysian (ABIM)
MISG-ABIM UK & Eire

Melayu diaspora sudah berkembang ke seluruh dunia. Selain dari yang terdapat di nusantara, komuniti di Melayu di beberapa buah negara di dunia seperti di Sri Lanka, Surinam, Belanda, Afrika Selatan dan tidak ketinggalan di United Kingdom (UK). Walaupun diaspora Melayu tidaklah sehebat diaspora India dan Cina, tetapi taburan komuniti Melayu di seluruh dunia sudah cukup menggambarkan keunikan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Mungkin berita mengenai Melayu di United Kingdom yang meliputi negara Republik Ireland, Wales, Scotland dan England jarang didengari namun bila sesekali bila bercerita mengenai Melayu di United Kingdom merupakan sesuatu perkara yang amat menarik.

Persatuan yang amat sinonim dengan Melayu di UK adalah Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom atau singkatannya “Melayu UK”. Melayu UK ditubuhkan bagi menyediakan satu platform khusus untuk masyarakat Melayu di UK berinteraksi sesama mereka kerana masyarakat Melayu di UK tinggal berselerak dan tidak berkumpul setempat.

Jadi Melayu UK merupakan medan perjumpaan terbaik untuk mereka merapatkan ukhuuwah, beraktiviti dan bertukar-tukar pandangan. Selain itu, Melayu UK merupakan satu wadah untuk mereka terus berusaha mengekalkan identiti dan jati diri sebagai masyarakat Melayu Islam berikutan kekhuatiran mereka terhadap anak-anak mereka yang dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana dan budaya Inggeris yang akan mengikis sedikit demi sedikit identiti keIslaman dan budaya Melayu mereka.

Bayangkan anak-anak mereka lahir sahaja terus menghirup udara Inggeris, makan makanan Inggeris, berkawan dengan anak-anak Inggeris dan bersekolah di sekolah Inggeris sudah tentu suasana Inggeris tersebut mempengaruhi sebahagian besar proses pembesaran mereka. Kekhuatiran mereka berasas kerana budaya dan cara hidup orang Inggeris sebahagian besarnya bercanggah dengan nilai-nilai keIslaman dan adat ketimuran yang halus.

Baru-baru ini penulis menghadiri Perhimpunan Keluarga Melayu kali ke – 5 yang dianjurkan oleh Melayu UK. Kehadiran penulis bersama delegasi Majlis Belia Negeri Negeri Sembilan (MBNNS) yang diketuai Presiden MBNNS, saudara Khaidir Jamal adalah atas jemputan Presiden Melayu Uk iaitu saudara Hamidi Abdul Rahman. Perhimpunan kali ini diadakan di Kem Pengakap Oxford, United Kingdom. Kehadiran MBNNS merupakan kunjungan balas selepas wakil belia Melayu UK menghadiri Pertukaran Belia Melayu Dunia yang diadakan di Rembau, Negeri Sembilan dan Jasin, Melaka.

Perhimpunan ini bukan sahaja dihadiri oleh masyarakat Melayu di UK tetapi juga dihadiri oleh ’Mat Saleh’ yang berkahwin dengan perempuan Melayu. Ternyata mereka amat menyenangi dan selesa bergaul dengan masyarakat Melayu serta menjadi sebahagian daripada keluarga besar mereka. Terdapat juga warganegara UK yang berbangsa Pakistan, Yaman dan Bangladesh yang turut bersama memeriahkan perhimpunan pada kali.

Kehadiran mereka memberikan makna tersirat iaitu mereka amat menyenangi kepimpinan umat Islam di UK apabila yang mengapalainya datang dari orang Melayu. Orang Melayu apabila berada di luar negara memang sinonim dengan kepimpinan mereka yang dapat menyatukan barisan umat Islam termasuklah di UK dan Amerika Syarikat. Kepimpinan Melayu memang sudah diiktiraf oleh masyarakat islam antarbangsa. Seperti kata saudara Hamidi, Presiden Melayu UK walaupun bilangan orang Melayu sedikit tapi dari aspek kualiti kepimpinan umat, orang Melayu boleh menawarkannya pada tahap terbaik, ”what we cannot offer for quantity we go for quality”.

Perhimpunan keluarga pada kali menampilkan kelainan daripada sudut pengisian bersesuaian dengan temanya iaitu ”Youth Empowerment – Pengupayaan Belia” dan ditambah dengan kehadiran tetamu istimewa dari Malaysia iaitu delgasi MBNNS. Konsep perhimpunan dikekalkan antara pengisian ilmu, pengisian rohani dan aktiviti fizikal merangkumi forum, tazkirah, solat berjemaah, aktiviti berkumpulan, menyediakan makanan secara berkumpulan, forum, aktiviti rekreasi dan lasak serta diskusi. Semua ini menjuruskan ke arah pengukuhan ukhuwwah antara ahli Melayu UK yang menghasilkan suatu gerak kerja mantap bagi menggerakkan Melayu UK.

Sempena kehadiran delegasi MBNNS yang diketuai Presidennya iaitu saudara Khaidir Jamal, beberapa slot istimewa telah diadakan iaitu taklimat program MBNNS berkaitan Think Tourism through Youth Tourism dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MBNNS dengan Melayu UK. Tujuan MoU ini adalah untuk mengeratkan kerjasama dua hala terutamanya dalam soal belia Melayu antara dua negara.

Bersesuaian dengan tema perhimpunan ’Youth Empowerment’ melalui MoU ini, MBNNS komited untuk membantu Melayu UK membangunkan aspek belia Melayu UK memandangkan mereka kini merupakan generasi ketiga Melayu di UK yang bakal meneruskan tradisi kepimpinan Melayu UK pada masa sekarang. Mereka harus dipersiapkan segera agar Melayu UK mendapatkan sentuhan anak-anak muda yang sudah tentu InsyaAllah akan merancakkan pergerakan aktiviti Melayu UK.

Kemuncak acara perhimpunan adalah forum yang membariskan Presiden Melayu Uk sendiri, Presiden MBNNS, Penolong Setiausaha Malaysian Islamic Study Group Angkatan Belia Islam Malaysia (MISG ABIM) United Kingdom dan Eire iaitu saudara Zamri dan wakil generasi ketiga Melayu UK iaitu saudari Sarah. Mereka berkongsi pandangan dengan para peserta perhimpunan mengupas tema perhimpunan iaitu ’Youth Empowerment’. Sebelum forum bermula, saudara Akyun selaku Setiausaha MISG ABIM UK dan Eire menyerahkan bantuan buku Iqra (kaedah mengaji) kepada wakil Melayu UK dari Ceshire sebagai satu simbolik penting penglibatan mahasiswa Malaysia di UK untuk terlibat dalam khidmat masyarakat membantu aktiviti Melayu UK menggerakkan halaqah pengajian agama dan Al-Quran terutamanya di kalangan ’mat saleh’ yang masuk Islam untuk berkahwin dengan wanita Melayu di UK. Ini satu lagi mesej jelas kepada seluruh mahasiswa Malaysia di UK iaitu tugasan mereka bukan sekadar belajar di bilik kuliah tapi peranan mereka amat ditagih bukan sahaja oleh masyarakat di Malaysia bahkan masyarakat antarabangsa.

Intipati forum amat menarik berkisar sejarah kedatangan orang Melayu ke UK, cabaran – cabaran yang dihadapi, serta pandangan generasi muda Melayu UK dalam persiapan mengambil alih kepimpinan Melayu UK dari generasi kedua. Saudari Sarah selaku panelis kedua mewakili generasi ketiga Melayu UK petah berkata – kata dalam bahasa Inggeris walaupun tidak petah berbicara dalam bahasa Melayu dilihat antara pimpinan pelapis yang berpotensi untuk ke hadapan memimpin Melayu UK. Begitu juga generasi ketiga yang lain, ternyata bersedia dan bersemangat untuk memimpin Melayu UK bila tiba masanya seperti Huda, Mujahed, Suhaib, Nizam dan lain-lain.

Perhimpunan ini melabuhkan tirainya dengan baik kerana diakhiri beberapa hasil resolusi yang mantap dan berkesan. Walaupun mereka jauh di mata namum perhubungan serumpun bangsa tetap tidak memisahkan. Semoga Melayu UK terus relevan dan memainkan pernanannya yang penting dalam memastikan kebajikan ahlinya terbela sambil dibantu rapat oleh pihak MBNNS dan MISG-ABIM UK dan Eire. Melayu UK boleh dilayari di http://www.melayu.org.uk/

Oleh: Jufitri Joha (Exco ABIM)

Hari Raya Aidiladha

Barisan exco pimpinan MISG-ABIM UK & Eire ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya di United Kingdom dan Eire yang menyambut Aidiladha pada 19/12/2007. Juga pada rakyat Malaysia di tanah air yang sambutanya esok 20/12/2007.

Kepada ahli MISG-ABIM UK & Eire, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan semangat dari kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s dalam meneruskan perjuangan membela agama. Pengorbanan dalam perjuangan menegakkan Islam serta kebenaran akan dihadiahkan oleh Allah dengan nikmatnya, jika tidak di dunia ia akan diberikan di akhirat kelak, insyaAllah.

Salam Aidiladha buat semua.
Minal aidin walfa'izin.

Aidil Adha

"AKU menyahutMu wahai Tuhanku! Aku menyahutMu! Tiada sekutu bagiMu, aku menyahutMu! Sesungguhnya kepujian dan kenikmatan itu bagiMu, juga kerajaan tiada sekutu bagiMu! Aku menyahutMu dengan haji yang benar-benar penuh dengan ibadat dan perhambaan!" Laungan syahdu 'talbiah' bergema di seluruh pelusuk kota Makkah setiap kali kedatangan Zulhijjah. Jemaah memenuhi kota Makkah bersama niat tulus ingin melengkapkan rukun Islam kelima, menunaikan ibadat haji.

Hati mereka bercampur baur - diasak sayu, insaf dengan kekhilafan diri, kagum dengan kebesaran Tuhan dan sebak gembira menjadi tetamu jemputan Allah SWT untuk menunaikan ibadat haji di kota suci-Nya. Demikianlah antara rentetan ibadat haji, ibadat terakhir yang melengkapi empat rukun Islam yang terdahulu iaitu mengucap dua kalimah syahadah, bersolat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada Ramadan dan menunaikan zakat.

Sejak zaman Nabi Adam AS lagi sudah ada ibadat haji, begitu juga pada zaman Nabi Ibrahim AS tetapi tidak banyak ulama mengkaji kaedah pelaksanaan pada zaman itu. "Pelaksanaan ibadat haji secara lengkap dan sempurna seperti hari ini bermula pada tahun kesembilan Hijrah apabila turunnya wahyu daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW mengutuskan Abu Bakar As-Siddiq dan Umar al-Khattab menunaikan haji pertama di Makkah.

"Seterusnya pada tahun ke-10 Hijrah, Nabi Muhammad SAW sendiri mengetuai rombongan haji dan ia adalah haji tunggal dan terakhir Baginda sebelum wafat," katanya. Roslan berkata, pelaksanaan rukun dan wajib haji serta pelbagai amalan lain dalam ibadat itu memiliki sejarah dan simbolik tertentu kepada perjalanan hidup manusia dari dunia ini sehingga ke alam akhirat.
Mengelilingi Kaabah atau tawaf adalah simbolik perjuangan manusia dalam pelbagai lapangan untuk meneruskan kehidupan di dunia, namun matlamat akhirnya tetap untuk mendapatkan keredaan Allah.

Tawaf dilakukan tujuh kali kerana ketika mula membina Kaabah, Nabi Ibrahim memastikan kedudukan tegak binaan itu berpandukan bahu dan mata dengan mengelilinginya tujuh kali. Selain itu, tawaf juga adalah amalan malaikat di Baitul Makmur di langit yang terletak betul-betul di atas Baitullah (Kaabah). Wukuf di Padang Arafah pada 9 Zulhijah bererti berhenti seketika di padang itu. Berada di Padang Arafah dalam suasana hangat dan panas terik memberi peringatan awal kepada umat Islam mengenai keadaan di Padang Mahsyar di mana semua manusia - tanpa mengira bangsa, pangkat atau kedudukan - akan dihimpunkan untuk menerima pengadilan berdasarkan amalan makruf dan mungkar mereka semasa di dunia.

Padang Arafah juga adalah tapak bersejarah dalam kehidupan manusia kerana di Jabal Rahmah yang terletak di kawasan itu, Nabi Adam dan isterinya, Hawa bertemu kembali selepas diturunkan dari syurga. Di situ jugalah Nabi Muhammad (SAW) menyampaikan khutbah terakhir kepada umat Islam. Saie yang menjadi satu daripada rukun haji pula bersempena peristiwa isteri Nabi Ibrahim, Hajar berulang alik sebanyak tujuh kali antara Safa dan Marwah untuk mencari air bagi anaknya, Nabi Ismail iaitu ketika Makkah belum terkenal. Hajar mendaki satu tempat tinggi dikenali Safa dengan harapan dapat melihat air, tetapi tiada.

Kemudian dia turun dan menuju ke tempat lain, iaitu Marwah, tidak ditemui air. Sampailah tujuh kali dia berulang-alik antara tempat itu, akhirnya dia menghampiri Marwah dan mendengar satu suara. Dia lalu menoleh dan mendapati malaikat menguis tanah dengan sayapnya sehingga keluar air zam-zam. Sesetengah pendapat mengatakan, Nabi Ismail yang menguis tanah dengan dua kakinya atau kedua-dua tangannya ketika menangis kehausan, hingga keluar air zam-zam. Saie secara simbolik memberi gambaran supaya manusia sentiasa berusaha mencari rezeki di dunia selain berusaha mendapatkan pahala di sebalik amal kebaikan untuk menjadi bekalan memperoleh syurga di akhirat kelak.

Melontar Jamrah pula berkait dengan kisah ketika Nabi Ibrahim menerima wahyu supaya menyembelih Nabi Ismail. Nabi Ibrahim mengajak Nabi Ismail ke sebuah lereng gunung di Mina dan di situ, muncul iblis yang menyamar sebagai manusia untuk menggoda Ibrahim supaya membatalkan niatnya. Nabi Ibrahim kemudian mengusir iblis itu. Menerusi peristiwa itulah umat Islam kemudian diwajibkan melontar Jamrah menggunakan batu kecil, sebagai simbol mengusir syaitan dari dalam diri manusia selain simbolik lain adalah 'melontar' jauh sifat kufur dan maksiat dari dalam diri.

Wahyu supaya Nabi Ibrahim menyembelih puteranya itu juga menjadi titik tolak ibadat korban yang dilakukan sempena haji atau Aidiladha. Seperti juga semangat dan keimanan Nabi Ibrahim AS, ibadat korban memberi maksud simbolik betapa manusia itu perlu mensyukuri nikmat Allah dan sanggup berkorban apa saja demi menunaikan perintah-Nya.

Rukun Haji
  • Ihram dan berniat mengerjakan ibadat haji dimulai sesampai miqat (batas-batas yang ditetapkan).
  • Wukuf di Arafah, iaitu berhenti di padang Arafah sejak tergelincir matahari 9 Zulhijah sampai terbit fajar tanggal 10 Zulhijah.
  • Tawaf iaitu mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
  • Saie iaitu berlari kecil atau jalan cepat antara bukit Safa dan Marwah.
  • Mencukur atau menggunting rambut, sedikitnya memotong tiga helai rambut.
  • Tertib iaitu menjalankan rukun haji secara berurutan.

Sumber: Berita Harian