Pages

Amanat Azam Baru 2008: Menilai Jati Diri Pendukung Dakwah

Generasi Muda adalah aset masa depan bangsa. Ummah amat memerlukan golongan yang benar-benar memahami akan aspirasi dan halatuju Islam dengan meletakkan awlawiyyat dan hadaf yang sebenar berlandaskan Al-Quran dan Sunnah. Kesedaran dalam melaksanakan dakwah memerlukan pemahaman yang jelas tanpa menjadikan ianya satu perkara yang tidak baik. Usaha dakwah dikalangan generasi muda mesti diperkasa.

Ini kerana zaman dan era kini tentangan golongan sekularis dan zionis telah semakin membara dengan meletakkan Islam sebagai sasaran dan laibiliti kepada umat. Setiap masa Islam dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat. Golongan muda dihidang dengan hiburan dan hedonisme keterlaluan yang menyebabkan pemikiran menjadi beku dan tidak bermaya. Momokkan ini kadangkala bukan sahaja daripada golongan penentang Islam malah wujud juga dikalangan Muslim yang masih ragu-ragu dengan Islam. Inilah cabaran yang harus kita hadapi pada zaman mendatang.


2007 telah berlalu dengan pelbagai ragam umat. Generasi muda harus kembali mengisi watak diri agar tidak mudah dihanyut dengan peredaran yang tidak bermanfaat. Ingatlah bahawa Islam meletakkan kualiti aqliah sebagai satu bentuk usaha baru membina jatidiri agar tidak mudah dipengaruhi dengan unsure-unsur yang tidak berfaedah. Golongan yang sentiasa mengancam umat islam tidak akan mudah mendiamkan diri. Mereka merancang siang dan malam untuk merosakkan jatidiri umat islam. Jangan kita mudah leka.

Kelemahan kita akan mudah digunakan untuk menghancurkan. Idealisme perjuangan Islam mesti didaulatkan. Kita jangan mudah alpa dengan gendang barat yang sentiasa memainkan semboyang menghancurkan kita. Jangan sampai umat Islam merasa mereka seolah berperanan tetapi hakikatnya di atas rentak dan panduan barat.

Golongan muda hari ini harus tampil menilai jatidiri bersama. Meletakkan azam baru satu kemestian. 2008 yang menjelma harus dilihat suatu cabaran. Walaupun tahun baru Masihi tidaklah sama dengan tahun hijrah namun usaha memuhasabah diri harus dilakukan pada bila-bila masa. Keazaman memperkasa kualiti dakwah hendaklah dimainkan oleh semua golongan agar Islam yang kita bawa pada hari ini akan dapat dinobatkan sebagai satu wadah yang membina umat atas prinsip Wataawanu alal Birri wat taqwa.

No comments: