Pages

Jelajah Ilmu

Program Jelajah Bersama Dr Sidek Baba, seorang Profesor di Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa, juga merupakan Mantan Timbalan Rektor UIAM, telah berjalan dengan jayanya di beberapa tempat sekitar England dengan sambutan yang cukup membanggakan. Misi ini bermula dengan pertemuan pertama bersama komuniti di Coventry, komuniti di Sheffield, Manchester, Hull, dan Oxford. Program-program yang diisi dengan pengisian yang pelbagai banyak menyentuh tentang isu-isu semasa yang melatari umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia amnya. Sebagai seorang tokoh pendidik yang berpengalaman dalam dunia pendidikan , beliau banyak menyentuh tentang persoalan pokok Islam dan peranan dalam mendidik generasi pada masa akan datang. Pendidikan asas teras islam menjadi elemen penting dalam membangun minda dan pemikiran generasi akan datang. Para pendidik termasuk ibu bapa sebagai pemangkin dan role model kepada anak-anak harus diberi penekanan dalam usaha mengangkat martabat umat.

Program seminggu anjuran MISG ABIM UK-Eire ini adalah sebahagian daripada Misi jelajah tokoh yang dirancang oleh kami dalam rangka mendidik generasi muda di United Kingdom dengan ilmu dan kepentingan mendekati para ilmuan. Sebelum ini pihak MISG ABIM UK-Eire juga telah menerima seorang tokoh iaitu Prof Madya Hj Shaharuddin Badaruddn, pensyarah kanan UiTM Shah Alam. Beliau yang merupakan ahli akademik yang pakar dalam bidang sains politik di malaysia menyentuh tentang Masa Depan Politik Melayu dan Islam : Pasca PRU 12. Sebagai seorang tokoh dalam gerakan Islam ABIM, pengalaman sebagai pimpinan gerakan islam bukan sahaja mampu digarap dalam menelusuri perkembangan dalam dunia politik umat Islam di Malaysia semata-mata malah mampu membangkitkan kesedaran tentang keperluan generasi baru dalam membangunakan kefahaman politik berdasarkan prinsip Islam sebenar.

Pihak MISG ABIM UK-Eire juga sedang merangka pada masa akan datang untuk memanfaatkan kehadiran tokoh-tokoh yang pelbagai dari Malaysia untuk digembeling ilmu mereka bagi menyemarak lagi usaha dakwah tarbiyyah di bumi UK bertuah ini. Moga program-program akan datang akan mendapat sambutan yang lebih menggalakkan daripada pelajar-pelajar dan penduduk Melayu di UK ini. Insya Allah . Sebarang pertanyaan boleh ajukan kepada emel kami.

1 comment:

Unknown said...

tahniah atas usaha murni sahabat2 di UK..semoga misi menyebar rahmat ke sekalian alam, dipermudahkan ALLAH..