Pages

Program Rekreasi Ilmu 2008


(sila click pada gambar untuk melihat dengan lebih jelas)

Pengisian (Dewasa):

  • Taaruf
  • Perasmian oleh : Pengarah MSD (Jabatan Penuntut Malaysia, London)
  • Slot 1 : Pengisian Ilmu : Wakil ABIM Pusat : Tajuk ‘ Rasulullah dan Perjuangan Dakwah Umat – Bersempena Maulidur Rasul 1429H
  • Slot 2: Talk by Shaykh Naseer – Imam Masjid Grimsby : Topic: ‘ Islam & A Universal Message ‘
  • Slot 3 : Muhasabah Dakwah
  • Jalan Cari Ilmu – Ziarah sekitar kawasan menarik di Grimsby
  • Kuliah & Qiyamullail
  • Aktiviti Sukan Luar (Menembak & Memanah)
  • Jalan-jalan tempat menarik sekitar Grimsby
  • Ziarah Masjid Stanley St, Grimsby

Pengisian (Kanak-Kanak):

  • Ta'aruf
  • Program Mewarna
  • Practical Nasyid
  • Sukaneka Kanak-Kanak
  • Story Telling
  • Practical Solat

Yuran: Family (£35.00) , Undergraduate (£25.00) , Remaja (£20.00)

Ke Arah Politik Baru Demi Masa Depan Bangsa dan Tanah Air

8 Mac 2008 akan menjadi satu sejarah lagi bagi seluruh rakyat Malaysia apabila semua warga keluar menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan bagi lima tahun akan datang. Walau apa pun dasar dan matlamat yang hendak dilaksanaka yang penting adalah masa depan rakyat dan bangsa Malaysia yang harus menjadi keutamaan untuk dijunjung. Bagi parti politik yang akan memulakan perang pilihanraya sepanjang 13 hari akan datang, haruslah lebih bertanggungjawab dalam seluruh janji dan harapan yang ditabur kepada rakyat Malaysia.

Daripada pelbagai manifesto dan harapan pilihanraya , semua pemimpin parti politik tidak harus memandang pilihanraya hanya sekadar untuk menang tetapi tidak mempunyai matlamat untuk rakyat bawahan yang sememangnya harus diambil peduli. Dasar dan panduan dalam melaksanakan pilihanraya harus dipatuhi oleh semua pihak. Dan apa yang lebih penting adalah sikap bertanggungjawab semua pihak dalam melaksanakan misi dan matlamat pilihanraya bagi meneruskan pembangunan negara demi masa depan yang lebih sejahtera.

Kepada bakal pemimpin politik masa akan datang, harus lah lebih sedar akan tanggungjawab anda. Bagi khusus untuk umat Islam, kepimpinan adalah amanah Allah swt. Ia bukan satu kebanggaan yang hendak dibina dan dijaja. Memang kita dibenar untuk menawar diri dalam kepimpinan sebagaimana dalam sejarah Islam, Nabi Yusof menawar diri menjadi menteri dalam kerajaan pada zamannya. Tetapi kita harus sedar bahawa menawar diri bertanding tidaklah semudah itu. Kita harus melihat diri kita, akhlak dan sahsiah kita, nilai contoh kepada umat dan negara disamping kemampuan kita untuk membantu rakyat bawahan, menggagaskan dasar ekonomi dan politik serta sosial dan mampu membangunkan masa depan negara. Harapan yang kita bawa untuk rakyat dan ummah tidak harus dikesamping kan walau sedikit tatkala kemenangan yang akan kita kecapi selepas ini.

Harapan kita bersama, janganlah pilihanraya ini menjadi medan memupuk perasaan benci membenci sesama kita walau daripada pelbagai parti politik dan pemahaman. Masing-masing mempunyai agenda yang hendak dibawa untuk negara. Oleh yang demikian kekuatan dalam melaksanakan kemakmuran negara, mematuhi peraturan dan mengelak sebarang penipuan, kezaliman dan penindasan harus diketepi dalam proses demokrasi dalam negara.

Selamat melaksana tanggungjawab kepada negara.

Hasri Harun
Timbalan Presiden
MISG-ABIM UK & Eire

Maal Hijrah bersama Komuniti Melayu Hull


MISG-ABIM UK & Eire rai sambutan Maal Hijrah bersama Komuniti Melayu Hull

MISG-ABIM UK & Eire telah sama-sama meraikan Program Sambutan Maal Hijrah anjuran Persatuan Melayu Hull baru-baru ini. Program ini diadakan di Cottingham , Hull sebuah perkampungan bersejarah di Hull. Menurut Pengerusi Melayu Hull , En Zahari, program yang diadakan ini telah berjaya diadakan dengan jayanya atas kerjsama semua keluarga dan komuniti melayu hull dan bantuan serta sokongan daripada rakan-rakan MISG-ABIM UK & Eire. Beberapa wakil melayu daripada kawasan sekitar seperti Nottingham, Leeds, Sheffield dan Manchester juga turut serta dalam menjayakan program.

Program sambutan tersebut telah dihadiri oleh Pengarah MSD, En Ahmad Nazri dan Puan Azimah, Atachi Pendidikan (Manchester). Dalam ucapan tersebut pengarah pada majlis tersebut beliau begitu gembira kerana turut sama melapangkan masa dalam sesi bersama masyarakat di Hull. Beliau juga menyarakan agar program seumpama sambutan ini boleh diadakan dan dijadikan siri tahunan untuk komuniti Melayu di UK . Program seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat Melayu luar negara disamping dapat memaparkan budaya dan aktiviti masyarakat kepada warga UK.

Majlis tersebut telah dimulai dengan Forum Maal Hijrah yang bertajuk Menjana Umat Gemilang. Dua orang ahli panel telah bersama-sama menjayakan iaitu Ustaz Hasri Harun, Timbalan Presiden MISG-ABIM UK & Eire dan Ustaz Mohd Noh Abd Jalil, Exco MISG ABIM dari Coventry.

Sambutan maal hijrah tersebut juga diserikan dengan persembahan nasyid oleh anak-anak Melayu Hull dengan penampilan lagu-lagu nasyid daripada kumpulan nasyid terkenal di Malaysia.

Tahun baru dengan Muhasabah : Renungan inti Surah Al-’Asr

Hasri Harun
Timbalan Presiden

MISG-ABIM UK & Eire



Mula semangat hijrah dengan sikap tawaduk

Tahun Hijrah Islam sekali lagi menjelma dengan bermulanya 1429. Tahun yang bakal penuh dengan cabaran ini disambut dengan rasa tawaduk dan syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmatNya selama ini. Seperti mana tahun-tahun baru sebelum ini , kita mulakan dengan lafaz Bismillah dan Tasyakkur ke HadratNya kerana kita masih lagi dizinkan untuk menerus usaha-usaha dakwah disamping menjalankan tugasan harian sebagai anak, ibu, bapa ,pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya. Namun sebagai muslim yang memahami akan kepentingan hidup sebagai satu Ibadah, seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan Tahun baru ini.

Sambutan tahun baru dalam Islam bukan sahaja satu sambutan yang bersifat bermegah dan bergembira semata-mata tetapi kita harus sandarkan kepada konsep hisab diri , merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya. Dalam pada erti tahun baru juga membwa makna mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru. Apabila kelemahan dikenalpasti maka disitulah datangnya perasaan untuk memperbaiki. Namun tidak semua merasai akan kelemahan. Ada juga perspektif lain daripada kelemahan. Kerana tidak semua orang akan merasai kelemahan dalam diri. Justeru, erti hijrah tahun baru juga boleh diungkap dari erti kata menambah baik serta meningkatkan sesuatu usaha ke arah terbaik. Menghitung diri dan muhasabah yang juga satu amalan para anbiya, mursalin adalah satu perkara yang cukup penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia. Ungkapan mengihitung diri selaras dengan semangat MUHASABAH.

Erti Muhasabah

Muhasabah dalam erti kata sebenarnya adalah proses menghitung diri, menilai amalan, tindakan sebelum ini dan ianya memberi satu perspektif yang cukup mendalam. Menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam. Sejauhmanakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai atau sebaliknya. Oleh sebab itu dalam menyambut Tahun baru hijrah pada kali ini kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah sebagai khalifah Allah dan sebagai hambanya yang beriman.

Mari kita renung firman Allah dalam surah Al-Asr yang bermaksud:

”Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Mari kita mulai tahun baru ini dengan merenung ingatan Allah SWT daripada intipati ayat di atas ini yang memberi satu nafas baru kepada kita sebagai insan yang bergelar manusia. Sesungguhnya manusia yang berjaya di sisiNya adalah mereka yang sentiasa menjaga masa dengan amalan yang diredhai oleh Allah . Mereka yang beriman dan beramal soleh adalah orang-orang yang sentiasa berada di sisi Allah dan syarat bagi yang beriman itu haruslah mereka yang berpegang kepada dua prinsip iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran . Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagaimana untuk kita memimpin diri bagi meneruskan tahun mendatang. Sudah pasti kita semai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan islam. Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala kecelaruan dan keburukan.

Hijrah dengan kebenaran

Tahun baru 1429 hijrah menuntut kita untuk menghisab diri dimana kita sekarang. Insan beriman yang kuat dan diangkat martabatnya adalah mereka yang sentiasa melaksanakan tugas dengan tanggungjawab dan kebenaran. Jiwa para daie harus disemai dengan faham Islami secara jujur dan tidak berpaling daripada kebenaran. Saling ingat mengingati diantara satu sama lain secara penuh jujur demi meraih Mardhatillah. Kita mulai tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal. Kadangkala yang benar itu sentiasa didorong dengan sikap takut dan jumud. Tidak berani untuk menyatakan yang hak. Tetapi sebaliknya membiarkan yang batil itu berleluasa. Justeru menyampaikan dan saling ingat mengingati sesama insan dengan semangat kebenaran harus dijadikan sandaran jika kita ingin meneruskan hidup yang berkat sepanjang tahun 1429 H.

Orang beriman menurut inti surat al-Asr, boleh difahami dalam erti kata kita saling ingat mengingati sesama insan setiap hari atas prinsip kebenaran. ”Berkatalah benar sekalipun pahit”. Ungkapan besar ini adalah satu semangat yang ditanam oleh islam kepada kita bilamana kita berhadapan dalam setiap sesuatu. Namun kata-kata yang benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika. Namun hakikit inilah yang harus kita lakukan. Tanggungjawab kita mulai sekarang dengan semangat tahun baru hijrah ini adalah sentiasa mendidik diri saling berkata benar dalam setiap keadaan. Kita saling ingat mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika imbal balik antara jiwa benar kita dituai maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai.

Sabar dalam dakwah inti makna hijrah

Umat yang kuat dan berkualiti tidak akan mampu meneruskan semangat dakwahnya jika kita mempunyai sifat tamak dan gelojoh dalam melaksanakan tugas. Jiwa yang sentiasa membuta tuli dan semborono tidak memungkingkan semangat dakwah dapat dilaksanakan secara menyeluruh jika semangat sabar dan pro aktif dalam berdakwah tidak dilakukan. Justeru semangat menyemai jiwa sabar menurut Islam harus dijadikan sandaran kita untuk berjaya dalam hidup. Kesabaran tidak akan berjaya dipertahan jika tidak dengan ilmu. Mana mungkin seorang boleh bersabar jika tidak dengan ilmu. Kesabaran para anbiya sebelum ini melaksanakan misi risalah islam adalah atas dasar ilmu dan kebenaran. Oleh yang demikian semangat hijrah pada tahun ini harus kita semai dengan ilmu dan hakikat kebenaran. Sentiasa mengingati para sahabat kita dengan kesabaran dalam melakukan sesuatu tindakan adalah satu usaha yang cukup murni jika kita bersedia melahirkan duat yang berjaya. Kejayaaan tidak akan mampu dicipta jika pendakwah yang lahir adalah dikalangan mereka tidak sabar.

Sabar bukan bererti defensive. Bila berlaku sesuatu dihadapan kita maka terpacul dari mulut kita..sabar. Sabar dalam Islam ertinya lebih luas. Memahami sesuatu dan mencari jalan bagaimana untuk menghadapinya. Dalam erti kata lain pro-aktif. Sesuatu perkata berlaku maka seorang daie harus sabar dan lebih pro-aktif untuk menghadapi dengan penuh hikmah. Kesabaran yang murni itu tersemai bila jiwa kita bersih daripada sifat ujub, dengki khianat kepada orang lain.

Dalam suasana hijrah ini bagaimana kita hendak semai budaya sabar dalam diri kita. Menurut ayat di atas, kita berpesan dengan kesabaran boleh juga difahami dengan melatakan tindakan nasihat dan menasihat diri kita utamanya dan orang lain dengan penuh kesabaran. Kerana untuk menasihati orang lain bukanlah satu yang mudah. Tidak semua manusia sedia menerima nasihat orang lain. Tidak semua manusia mampu menundukan keegoannya bilamana diberi teguran oleh orang lain. Maka bila kita mempunyai sifat sabar yang tinggi maka kita bisa menghadapi sebarang tindakan yang bakal dihadapi jika orang yang kita nasihat bersifat negatif. Maka dengan itulah budaya ingat mengingati akan tersemai. Dan mereka yang sabar dalam tindakan akan terus segar dan sedia meneruskan usaha pada bila-bila masa demi menegakkan kebenaran dalam agamanya. Hijrahkan lah diri kita dengan sifat sabar. Renunglah ayat di atas untuk menarik perhatian dan mata hati untuk kembali meneguhkan Iman dan taqwa kita agar ianya sentiasa segar walau dimana kita berada.

Marilah kita sama-sama renung kembali semangat hijrah dengan mata hati kita. Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir sepanjang hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan bersama dengan orang lain. Kita mulai semangat hijrah 1429 ini dengan jiwa tawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

Bagi pihak Seluruh Jawatankuasa MISG ABIM UK-Eire 2008-09 mengucapkan Selamat melangkah ke tahun baru 1429 hijrah. Semoga usaha kita yang mendatang akan diberi kekuatan oleh Allah SWT.

Salam penuh takzim.

Usrah Bulanan

Assalamu'alaikum Warohmatullohi Wabarakatuh

JEMPUTAN KE USRAH MISG-ABIM UK & EIRE

Semoga berada dalam kemanisan iman dan rahmat Ilahi.

Dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas, Malaysian Islamic Study Group – Angkatan Belia Islam Malaysia (MISG-ABIM UK & Eire) akan menganjurkan program Usrah yang merupakan program perjumpaan dan perbincangan tentang hala tuju gerakan dakwah serta agenda untuk memperkasakan dan memantapkan lagi usaha dakwah.

Butiran lanjut program adalah seperti berikut :

Tarikh : 26 – 27 Januari 2008
Tempat : Hull
Masa : 9 pagi - 9 malam

Sehubungan dengan itu, saya ingin menjemput sahabat-sahabat semua untuk menghadiri serta menjayakan lagi program Usrah kali ini. Sebarang maklumat, sila emailkan kepada admin@misg-abim.org

Semoga kehadiran tuan/puan akan membantu oraganisasi MISG-ABIM untuk bergerak lebih cemerlang lagi dimasa akan datang, InsyaAllah.

Sekian, terima kasih.

Wassalam

Yang Menjalankan Tugas,
QURROTU AKYUN DAUD
Setiausaha
MISG-ABIM UK & Eire